Motorsikal tua saya meredah dingin malam tanpa merungut. Entah kenapa terlintas untuk berhenti minum di kedai makan (restoran) di pinggir jalan. Tergerak untuk menulis sesuatu di blog PAS.MY. Tanpa lengah, saya berhenti. Minta Nescafe Tarik Kao, dan terus membuka Netbook. Kerjakan!
Entah kenapa juga, di dini hari ini tiba-tiba terlintas untuk melihat Bil Bekalan Air yang dikeluarkan oleh Jabatan Bekalan Air Kedah Darul Aman. Secara kebetulan barangkali, mata saya terpaku pada catatan pada bil berkenaan, yang antara lain tertulis:
JBA KEDAH DARUL AMAN AKAN DIKORPORATKAN PADA 1 JANUARI 2010 DAN DIKENALI SEBAGAI SYARIKAT AIR DARUL AMAN (SADA). sEMUA URUSAN BERJALAN SEPERTI BIASA.
Saya melihat tarikh bil berkenaan. Tercatat 28-01-2010. Menarik. Boleh dijadikan bahan. Oh, oportunis sungguh saya! Pasti, orang menggigit anjing dan bukan anjing mengigit orang. (Harap anda boleh memahaminya.)
Ada beberapa persoalan yang timbul daripada bil ini:
1. Kenapa bil tersebut menyatakan yang JBA(KDA) akan dikorporatkan pada hal jabatan berkenaan telah pun diberbadankan pada 1.1.2010.
2. Kenapa dikenali sebagai Syarikat Air Darul Aman. Bolehkah nama badan korporat yang bukan not for profit dinamai sebegitu (tanpa ungkapan amaran tentang liabiliti terhadnya?).
3. Kenapa ada ungkapan syarikat, sedangkan peraturan SSM tidak membenarkan ungkapan "syarikat" digunakan pada badan korporat. Jika dibenarkan oleh SSM, maka SSM sesungguhnya membenarkan perkara pelik berlaku, kerana akan berlaku perulangan ungkapan. (saya sengaja tidak mahu memberikan alasan dalam tulisan ini).
4. Kenapa nama syarikat berkenaan yang sah di sisi undang-undang tidak diterbitkan dalam bil berkenaan? Bukankah Seksyen 121(1), Akta Syarikat 1965 memperuntukkan (saya petik):
Section 121. Publication of name.
(1) The name of the company (whether or not it is carrying on business under a business name) in legible romanized letters and the company number of the company shall appear on-
(a) its seal; and
(b) all business letters, statements of account, invoices, official notices, publications, bills of exchange, promissory notes, endorsements, cheques, orders, receipts and letters of credit of or purporting to be issued or signed by or on behalf of, the company,
and if default is made in complying with this subsection the company shall be guilty of an offence against this Act.
Bayangkan berapa banyak bil berkenaan dikeluarkan! Bayangkan jumlah kesalahan yang akan dilakukan jika mengambil kira jumlah Bil Bekalan Air yang telah dikeluarkan secara yang menyalahi Seksyen 121 (1)? Saya mengirakan jutaan wang rakyat akan dikorbankan untuk membayar kompaun yang akan dikeluarkan, jika SSM mengambil tindakan. Ironis lagi, dipandang dari sudut yang lain, akan mengalirlah wang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat!
Oh, ada yang lebih menarik: akan ada orang yang bertuah yang akan dilantik (tentulah telah dilantik sebahagiannya!) menganggotai lembaga pengarah syarikat GLC berkenaan dari semasa ke semasa. Kepada mereka, selamat memegang amanah baru. Sesungguhnya amanah sebagai ahli lembaga pengarah adalah sangat besar dan tidak boleh ditanggung secara semberono. Oppsss. Siapalah saya untuk menasihatkan badan korporat seperti SADA? Saya hanya Orang kampung biasa yang meredah hening malam dengan motorsikal tua! Brooooommmmm ....